BERA: Selepas dua tahun berehat akibat penularan COVID-19, kini 'sang singa' dapat kembali beraksi bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini.

Antara yang teruja dengan dengan sambutan kali ini adalah pasukan Tarian Singa DAP yang kini kembali beraksi dengan melakukan tarian mereka dari rumah ke rumah sejak awal pagi tadi.

Menurut Ketua Wanita DAP Bahagian Bera, Leong Yu Man, walaupun pergerakan mereka terhad dengan hanya menerusi temujanji awal sahaja, sekurang-kurangnya semua penari dapat menggilap semula bakat mereka.

Menurutnya, jika tahun-tahun sebelum ini mereka boleh pergi rumah ke rumah tanpa had, sekarang hanya boleh melakukannya antara lapan hingga 10 buah rumah sahaja sehari.

"Apabila kami dibenarkan beraksi, kami telah membuka temu janji dan sehari tak boleh lebih dari 10 buah rumah sebab setiap rumah kami hadkan paling lama satu jam.

"Tapi itu pun dah memadai bagi kami kerana dengan kembalinya Tarian Singa ini secara tidak langsung memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini," katanya.

Yu Man yang juga ADUN Triang memberitahu, Tarian Singa ini adalah tradisi turun-temurun yang diamalkan dalam masyarakat Cina setiap kali menjelang musim perayaan ini.

Katanya, Tarian Singa dipercayai dapat memberikan tuah kepada seseorang sekiranya tarian itu dilakukan di rumah mereka kerana dikatakan dapat menghalau segala aura-aura negatif.

Tarian Singa di bawah kelolaan parti DAP Triang memeriahkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina kali ini. - Foto Astro AWANI

Berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina dahulu, wujudnya raksasa yang kerap mengganggu kehidupan mereka dan Tarian Singa ini dipercayai dapat menghalau raksasa tersebut.

"Bukan sahaja tarian, tapi bunyi mercun juga mampu menakut-nakutkan raksasa itu. Sebab itu, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, kita selalu tengok memang akan ada tarian ini bagi memastikan seseorang itu terselamat dari gangguan-gangguan tersebut.

"Itu adalah kepercayaan kami, dan sehingga kini menjadi tradisi turun-temurun. Jadi, bila tarian singa ini kembali beraksi pada tahun ini, ia sememangnya menggembirakan masyarakat Cina di sini," katanya.

Sebahagian ahli pasukan Tarian Singa DAP yang berjaya memeriahkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina, kali ini. - Foto Astro AWANI

Bagaimanapun, katanya, setiap persembahan yang dilaksanakan adalah mengikut aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dititik berat sepanjang masa demi keselamatan ahli serta tuan rumah.